Sunday, August 2, 2009

Rahsia Solat Di Awal Waktu

Semalam aku dapat email dari seorang kawan yang bekerja dengan syarikat perunding dan aku rasa patut dikongsi bersama. Mana tau dengan terdedahnya rahsia ini kita semakin hari semakin rajin solat di awal waktu. Inilah kandungan email berkenaan:

...Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak?

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.

Saturday, August 1, 2009

Syaaban masa paling sesuai muhasabah diri

Oleh : JUNHAIRI BIN ABD JALI

REJAB sudah berlalu. Kini Syaaban menjelang. Lambaian Ramadan sebulan lagi. Kita belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda:

"Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:

"Allhuma Bariklana fi rajab wa syaaban wa ballighna Ramadan",

Bermaksud : "Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab danSyaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan."

Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk kebersihan hati.

Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak. Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Rasulullah mengekalkan nama Syaaban sehinggalah sekarang. Air adalah bekalan dan kehidupan bagi pejuang. Mengapa pentingnya kita mengenang pejuang dan menyalakan semangat perjuangan? Perjuangan kita dalam hidup ini adalah untuk kemerdekaan. Merdeka jiwa. Merdeka daripada segala bentuk perhambaan manusia kepada manusia.

Lebih 50 tahun lalu pejuang berjaya membawa negara kita keluar daripada belenggu penjajahan. Penjajahan tanah air, jiwa, rasa dan minda.

Bayangkan dan rasakan, mereka berjuang membela negara ini bukan untuk hidup mereka, bukan untuk keluarga mereka, bukan pula untuk hari meriah itu. Mereka berjuang untuk masa depan anak cucu dan bangsa ini. Mereka berjuang untuk kita, yang hidup saat ini, juga untuk anak cucu.

Bayangkan dan rasakan apakah pejuang akan senang melihat penjajah British dan Jepun serta pengkhianat Komunis Bintang Tiga menghina maruah umat?

Apakah pejuang akan senang melihat maraknya rasuah dan salah guna kuasa di kalangan beberapa pemimpin dan pihak bertanggungjawab? Adakah pejuang rela membiarkan rakyat bergelumang dengan dadah, judi, jenayah rogol, seks rambang dan syak wasangka kaum dan agama? Adakah pejuang boleh goyang kaki melihat umat hanyut dalam budaya hedonisme melampau sehingga tidak peka dengan budaya ilmu dan intelektual?

Kita perlu membuat pejuang bangga dan senang, dengan membangun negara ini dengan hati, bersih jiwa dan minda, jujur, bertanggung jawab, disiplin, kerjasama, adil, wawasan dan prihatin. Mari membuat bangsa ini dihormati dan disegani di mata bangsa lain di dunia.

Sempena Syaaban kita perlu mengasah dan memupuk jiwa pejuang melalui amalan membangkitkan semangat, memupuk kesucian sekali gus mengumpul pahala. Jiwa pejuang adalah jiwa menghayati makna keinsafan, kesusahan dan penderitaan. Firman Allah bermaksud:

"Dan orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang yang bertakwa." – (Surah Al-Baqarah: ayat 177).

Antara perkara yang disyariatkan pada Syaaban ialah menjelaskan hutang puasa yang tertinggal sebelum ini. Syaaban bulan melangsai hutang. Kini masanya qada puasa bagi sesetengah kita yang tertinggal puasanya pada Ramadan lalu atas sebab keuzuran dibenarkan.

Contohnya kerana sakit, musafir dan menyusukan anak. Kita tidak boleh menundanya hingga Ramadan berikutnya kerana kita akan didenda membayar kafarat ke atas setiap hari ditinggalkan.

Budaya bertangguh menggantikan puasa ini bukan baru bagi kita tetapi sudah menjadi sebati dalam kehidupan umat Islam hari ini. Ini bukan amalan pejuang. Firman Allah bermaksud:

"Dan sekali-kali, Tuhanmu tidak lalai daripada apa yang kamu kerjakan". (Surah Hud, ayat 123).

Hikmah diperintahkan untuk membanyakkan puasa pada Syaaban untuk membuat persediaan mental dan fizikal, melatih diri membiasakan berpuasa pada Ramadan nanti.

Kita disunatkan membanyakkan amalan puasa sepanjang Syaaban bukan hanya pada malam Nisfu Syaaban saja. Rasulullah selalu melakukannya. Dalam kitab Shahih Bukhari dan Muslim ada hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah, dia berkata:

"Aku belum pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa selama satu bulan penuh kecuali pada Ramadan dan aku belum pernah melihat beliau memperbanyakkan puasa (sunat) dalam satu bulan kecuali pada Syaaban".

Syaaban dikenali sebagai bulan muhasabah diri, iaitu memperbaiki dan melihat kembali watak diri sendiri. Memperbaiki sifat mazmumah seperti dengki, takbur dan sombong yang semakin runcing membekam dalam diri sebahagian daripada kita, umat Islam masa kini. Selain memperbaiki, digalakkan juga melihat kembali sifat mahmudah.

Adakah kita selama 11 bulan lalu sudah memperbanyakkan amalan baik seperti ikhlas, reda dan sedekah. Tidak cukup dengan solat, puasa dan zakat maka kita murnikan dengan ikhlas dan reda.Apalah maknanya solat yang banyak tetapi tidak ikhlas? Sering berpuasa tetapi turut mengamalkan lihat perkara yang 'syubhah'.

Apalah ertinya setiap tahun kita mengerjakan haji tetapi riak mahu dilihat sebagai orang yang berada dan suka dipuji?

Dalam Syaaban kita digalakkan bertaubat, membanyakkan doa, menggandakan zikir dan berselawat kepada Rasulullah. Sabda Rasulullah:

"Barang siapa yang mengagungkan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit."

Dalam kita beramal meraikan Syaaban, janganlah pula kita kaitkan dengan amalan bidaah tertentu yang tidak disyariatkan oleh Allah.

INFO

  • Syaaban adalah detik memupuk jiwa pejuang melalui amalan membangkitkan semangat, memupuk kesucian sekali gus mengumpul pahala.
  • Jiwa pejuang adalah menghayati makna keinsafan, kesusahan dan penderitaan.
  • Antara perkara disyariatkan pada Syaaban ialah menjelaskan hutang puasa yang tertinggal sebelum ini. Syaaban bulan melangsai hutang.
  • Kita digalakkan bertaubat, membanyakkan doa, menggandakan zikir dan berselawat kepada Rasulullah. Masa sesuai muhasabah diri.

Thursday, July 30, 2009

Teladan: Kisah Anak Derhaka

Ermmm.. Sudah lama aku tak menjenguk blog aku sendiri. Asyik baca blog orang je! Sampai blog sendiri penuh bersawang. Buat blog pastu hilang begitu saja. Oklah mulai sekarang aku cuba penuhi blog aku dengan perkara-perkara berfaedah. Kalau tidak untuk orang lain berfaedah untuk diri aku sendiri. Buat permulaannya aku paparkan kisah teladan tentang anak derhaka yang membuatkan aku sedar betapa pentingnya kita ambil berat hal ehwal ibu bapa sendiri. Jangan sekali kali jadi anak derhaka. Allah bayar tunai masa di dunia lagi kepada anak derhaka.

Kisahnya begini............" Hairan saya melihat beberapa orang kampung berkumpul di kedai pada tengah hari itu. 1 September 1994. Serius mereka berbual hingga dahi berkerut-kerut. Lepas seorang bercerita yang lain menggeleng-gelengkan kepala.

Pasti ada sesuatu yang 'besar' sedang mereka bincangkan, kata saya di dalam hati. Setelah enjin motosikal dimatikan, saya berjalan ke arah mereka.
" Bincang apa tu? Serius aku tengok," saya menyapa." Haaa...Din, kau tak pergi tengok budak perempuan tak boleh keluar dari kubur emak dia? " kata Jaimi, kawan saya." Budak perempuan? Tak boleh keluar dari kubur? Aku tak faham bah," jawab saya. Memang saya tak faham kerana lain benar apa yang mereka katakan itu.
" Macam ni," kata Jaimi, lalu menyambung, " di kubur kat kampung Batu 10 tu, ada seorang budak perempuan tolong kebumikan emak dia, tapi lepas itu dia pula yang tak boleh keluar dari kubur tu. Sekarang ni orang tengah nak keluarkan dia... tapi belum boleh lagi ".
" Kenapa jadi macam tu? " saya bertanya supaya Jaimi bercerita lebih mendalam. Patutlah serius sangat mereka berbual..
Jaimi memulakan ceritanya. Kata beliau, memandangkan semalam adalah hari kelepasan semperna Hari Kebangsaan, budak perempaun berumur belasan tahun itu meminta wang daripada ibunya untuk keluar bersama kawan-kawan ke Bandar Sandakan. Bagaimana pun, ibunya yang sudah berusia dan sakit pula enggan memberikannya wang.
" Bukannya banyak, RM 20 aja mak! " gadis itu membentak. " Mana emak ada duit. Mintak dengan bapa kamu," jawab ibunya perlahan. Sambil itu dia mengurut kakinya yang sengal. Sudah bertahun-tahun dia mengidap darah tinggi,lemah jantung dan kencing manis.
" Maaak... kawan-kawan semuanya keluar. Saya pun nak jalan jugak," kata gadis itu.
" Yalah, mak tau... tapi mak tak ada duit," balas ibunya." RM 20 aja! " si gadis berkata.
" Tak ada," jawab ibunya.
" Emak memang kedekut! " si gadis mula mengeluarkan kata-kata keras.
" Bukan macam tu ta..." belum pun habis ibunya menerangkan, gadis tersebut menyanggah, katanya,
" Ahhh...sudahlah emak! Saya tak mau dengar! "
" Kalau emak ada du... " ibunya menyambung , tapi belum pun habis kata-katanya, si gadis memintas lagi, katanya ;
" kalau abang, boleh, tapi kalau saya minta duit, mesti tak ada! "
Serentak dengan itu, gadis tersebut menyepak ibunya dan menolaknya ke pintu. Si ibu jatuh ke lantai.
" Saida.. Sai.. dddaaa.." katanya perlahan sambil mengurut dada. Wajahnya berkerut menahan sakit.
Gadis tersebut tidak menghiraukan ibunya yang terkulai di lantai. Dia sebaliknya masuk ke bilik dan berkurung tanda protes. Di dalam bilik, dibalingnya bantal dan selimut ke dinding. Dan sementara di luar, suasana sunyi sepi.
Hampir sejam kemudian, barulah gadis tersebut keluar. Alangkah terkejutnya dia kerana ibunya tidak bergerak lagi. Bila dipegang ke pergelangan tangan dan bawah leher, tidak ada lagi nadi berdenyut.
Si gadis panik. Dia meraung dan menangis memanggil ibunya, tapi tidak bersahut. Meraung si gadis melihat mayat ibunya itu. Melalui jiran-jiran, kematian wanita itu diberitahu kepada bapa gadis yang bekerja di luar.
Jaimi menyambung ceritanya; " Mak cik tu dibawa ke kubur pukul 12.30 tadi. Pada mulanya tak ada apa-apa yang pelik, tapi bila mayatnya nak dimasukkan ke dalam kubur, ia jadi berat sampai dekat 10 orang pun tak terdaya nak masukkannya ke dalam kubur. Suaminya sendiri pun tak dapat bantu."
" Tapi bila budak perempuan tu tolong, mayat ibunya serta-merta jadi ringan. Dia seorang pun boleh angkat dan letak mayat ibunya di tepi kubur."
Kemudian gadis berkenaan masuk ke dalam kubur untuk menyambut jenazah ibunya. Sekali lagi beramai-ramai penduduk kampung mengangkat mayat tersebut dan menyerahkannya kepada gadis berkenaan.
Tanpa bersusah payah, gadis itu memasukkan mayat ibunya ke dalam lahad. Namun apabila dia hendak memanjat keluar dari kubur tersebut, tiba-tiba kakinya tidak boleh diangkat. Ia seperti dipaku ke tanah. Si gadis mula cemas.
" Kenapa ni ayah? " kata si gadis. Wajahnya serta-merta pucat lesi.
" Apa pasal," Si ayah bertanya.
" Kaki Saida ni.. tak boleh angkat! " balas si gadis yang kian cemas.
Orang ramai yang berada di sekeliling kubur mula riuh. Seorang demi seorang menjenguk untuk melihat apa yang sedang berlaku.
" Ayah, tarik tangan saya ni. Kaki saya terlekat.... ... tak boleh nak naik," gadis tersebut menghulurkan tangan ke arah bapanya.
Si bapa menarik tangan anaknya itu, tetapi gagal. Kaki gadis tersebut melekat kuat ke tanah. Beberapa orang lagi dipanggil untuk menariknya keluar, juga tidak berhasil.
" Ayah...kenapa ni??!! Tolonglah Saida, ayah.." si gadis menangis memandang ayah dan adik-beradiknya yang bertinggung di pinggir kubur.
Semakin ramai orang berpusu ke pinggir kubur. Mereka cuba menariknya beramai-ramai namun sudah ketentuan Allah, kaki si gadis tetap terpasak di tanah. Tangisannya bertambah kuat.
" Tolong saya ayah, tolong saya.......kenapa jadi macam ni ayah? " kata si gadis sambil meratap.
" Itulah, kamu yang buat emak sampai dia meninggal. Sekarang, ayah pun tak tau nak buat macam mana," jawab si ayah selepas gagal mengeluarkan anaknya itu.Dia menarik lagi tangan gadis yang berada di dalam kubur tapi tidak berganjak walau seinci pun. Kakinya tetap terpahat ke tanah." Emak...ampunkan Saida emak, ampunkan Saida..." gadis itu menangis. Sambil itu dipeluk dan dicium jenazah kiblat. Air matanya sudah tidak boleh diempang lagi." Maafkan Saida emak, maafkan , Saida bersalah, Saida menyesal... Saida menyesal.... .. Ampunkan Saida emak," dia menangis lagi sambil memeluk jenazah ibunya yang telah kaku.Kemudian gadis itu menghulurkan lagi tangannya supaya boleh di tarik keluar. Beramai-ramai orang cuba mengeluarkannya namun kecewa. Apabila terlalu lama mencuba tetapi gagal, imam membuat keputusan bahawa kubur tersebut perlu dikambus." Kita kambus sedikit saja, sampai mayat ibunya tak dapat dilihat lagi. Kita tak boleh biarkan mayatnya macam tu aja... kalau hujan macam mana? " kata imam kepada bapa gadis berkenaan." Habis anak saya ?" tanya si bapa." Kita akan terus cuba tarik dia keluar. Kita buat dua-dua sekali, mayat isteri awak disempurnakan, anak awak kita selamatkan," balas imam.Lelaki berkenaan bersetuju. Lalu seperti yang diputuskan, upacara pengebumian terpaksa diteruskan sehingga selesai, termasuk talkinnya. Bagaimana pun kubur dikambus separas lutut gadis saja, cukup untuk menimbus keseluruhan jenazah ibunya.Yang menyedihkan, ketika itu si gadis masih di dalam kubur. Bila talkin dibaca, dia menangis dan meraung kesedihan. Sambil itu dia meminta ampun kepada ibunya dengan linangan air mata. Selesai upacara itu, orang ramai berusaha lagi menariknya keluar. Tapi tidak berhasil." Bila dah lama sangat, aku balik kejap untuk makan. Dah lapar sangat. Lepas itulah aku singgah ke kedai ni. Lepas ni aku nak ke kubur lagi. Nak tengok apa yang terjadi," kata Jaimi." Aku pun nak pergilah," kata saya. Lalu kami semua menunggang motosikal masing-masing menuju ke kubur.Kami lihat orang ramai sudah berpusu-pusu di sana . Beberapa buah kereta polis juga kelihatan di situ. Saya terus berjalan pantas menuju kubur yang dimaksudkan dan berusaha menyusup ke celah-celah orang ramai yang sedang bersesak-sesak.Setelah penat berusaha, akhirnya saya berjaya sampai kebarisan paling hadapan. Malangnya saya tidak dapat melihat gadis tersebut kerana di depan kami telah dibuat kepungan tali. Kubur itu pula beberapa puluh meter daripada kami dan terlindung oleh kubur serta pokok-pokok rimbun. Di dalamkepungan itu, anggota-anggota polis berkawal dengan senjatamasing-masing.Nasib saya memang baik hari itu. Dua tiga orang daripada polis berkenaan adalah kenalan saya." Pssstt...Raie. ...Raie..Psstt, " saya memanggil, Raie yang perasan saya memanggilnya mengangkat tangan." Boleh aku tengok budak tu? " saya bertanya sebaik saja diadatang ke arah saya." Mana boleh. Keluarga dia aja yang boleh," jawabnya perlahan-lahan seperti berbisik. Sambil itu dia menjeling ke kiri dan kanan, khuatir ada orang yang tahu." Sekejap aja. Bolehlah..." saya memujuk.....Alhamdulillah, setelah puas dipujuk dia mengalah. Tanpa berlengah, saya menyusup perlahan-lahan dan berjalan beriringan dengan Raie, seolah-olah tidak melakukan apa-apa kesalahan. Namun demikian dada saya berdebar kencang. Pertama, risau & takut dihalau keluar. Kedua, tidak sabarhendak melihat apa yang sedang berlaku kepada gadis berkenaan.Selepas meredah kubur-kubur yang bertebaran, akhirnya saya sampai ke pusara yang dimaksudkan. Di pinggir kubur itu berdiri dua tiga orang polis memerhatikan kedatangan saya.Raie mendekati mereka dan berbisik-bisik. Mungkin dia merayu supaya saya tidak dihalau. Alhamdulillah, saya lihat seorang polis yang berpangkat mengangguk-angguk. Raie terus memanggil saya lalu memuncungkan bibirnya ke arah sebuah kubur.Bila dijenguk kedalam, dada saya serta-merta terasa sebak. Saya lihat gadis berkenaan sedang duduk di atas tanah kubur sambil menangis teresak-esak. Sebentar kemudian dia memegang tanah berhampiran lahad dan merintih;"Emak... ampunkanlah Saida, Saida sedar, saida derhaka pada emak, Saida menyesal, Saida menyesal.... .."Selepas mengesat air jernih yang terus berjejeran daripada mata yang bengkak, gadis tersebut menangis lagi memohon keampunan daripada arwah ibunya. " Emak...lepaskanlah kaki saya ni. Ampunkan saya, lepaskan saya,"Ditarik-tariknya kaki yang melekat di tanah namun tidak berhasil juga.Saya lihat bapa dan adik-beradiknya menangis, di pinggir kubur. Nyata mereka sendiri tidak tahu apa lagi yang hendak dibuat untuk menyelamatkan gadis berkenaan." Sudahlah tu Saida...makanlah sikit nak ," rayu bapanya sambil menghulurkan sepinggan nasi juga segelas air. Si gadis tersebut langsung tidak mengendahkan. Malah memandang ke atas pun tidak. Dia sebaliknya terus meratap meminta ampun daripada arwah ibunya.Hampir menitis air mata saya melihat Saida. Tidak saya sangka, cerita datuk dan nenek tentang anak derhaka kini berlaku di depan mata.Begitu besar kekuasaan Allah. Memang betullah kata para alim ulama, dosa menderhakai ibu bapa akan di balas 'tunai'.Malangnya saya tidak dapat lama di sana . *****a 10 - 15 minit saja kerana Raie memberitahu, pegawainya mahu saya berbuat demikian. Mahu tidak mahu, terpaksalah saya meninggalkan kubur tersebut. Sambil berjalan kedengaran lagi Saida menangis dan meratap " Ampunkan saya emak,ampunkan saya, Ya Allah, lepaskanlah kakiku ini, aku bertaubat, aku insaf..."Lantas saya menoleh buat kali terakhir. Saya lihat bapa Saida dan adik beradiknya sedang menarik tangan gadis itu untuk dibawa keluar, tapi seperti tadi, tidak berhasil. Saya lihat seorang polis mengesatkan air matanya.Semakin lama semakin ramai orang berhimpun mengelilingi perkuburan itu. Beberapa kereta polis datang dan anggotanya berkawal di dalam kepungan lengkap dengan senjata masing-masing. Wartawan dan jurugambar berkerumun datang untuk membuat liputan tetapi tidak dibenarkan.Mereka merayu bermacam-macam cara, namun demi kebaikan keluarga gadis, permintaan itu terpaksa ditolak.Matahari kian terbenam, akhirnya tenggelam dan malam merangkak tiba. Saida masih begitu. Kaki terlekat di dalam kubur ibunya sementara dia tidak henti-henti meratap meminta keampunan. Saya pulang ke rumah dan malam itu tidak dapat melelapkan mata. Suara tangisannya terngiang-ngiang di telinga saya.Saya diberitahu, sejak siang, tidak ada secebis makanan mahupun minuman masuk ke tekaknya. Seleranya sudah mati. Bapa dan adik beradiknya masih tetap di sisi kubur membaca al-Quran, Yassin dan berdoa. Namun telah disebutkan Allah, menderhaka terhadap ibu bapa adalah dosa yang sangat besar. Saida tetap tidak dapat dikeluarkan.Embun mula menitis. Saida kesejukan pula. Dengan selimut yang diberi oleh bapanya dia berkelubung. Namun dia tidak dapat tidur. Saida menangis dan merayu kepada Allah supaya mengampunkan dosanya.Begitulah yang berlaku keesokannya. Orang ramai pula tidak susut mengerumuni perkuburan itu. Walaupun tidak dapat melihat gadis berkenaan tapi mereka puas jika dapat bersesak-sesak dan mendengar orang-orang bercerita.Setelah empat atau lima hari terperangkap, akhirnya Saida meninggal dunia. Mungkin kerana terlalu lemah dan tidak tahan di bakar kepanasan matahari pada waktu siang dan kesejukan di malam hari. Mungkin juga kerana tidak makan dan minum. Atau mungkin juga kerana terlalu sedih sangat dengan apa yang dilakukannya.Allah Maha Agung...sebaik Saida menghembuskan nafas terakhir, barulah tubuhnya dapat di keluarkan. Mayat gadis itu kemudian disempurnakan seperti mayat-mayat lain.Kuburnya kini di penuhi lalang. Di bawah redup daun kelapa yang melambai-lambai, tiada siapa tahu di situ bersemadi seorang gadis yang derhaka.



WaALLAHu'alam. .

Friday, February 1, 2008

Pena Qalam Pertama

Assalamualaikum...Segala puji-pujian bg ALLAH Tuhan semesta Alam..Selawat dan salam buat junjungan besar Muhamamd s.a.w..Fuhhh...Dah lama sebenarnya aku nak mencoret sesuatu dlm blog ni..nak memiliki blog sendiri..asyik baca blog org aje..tp memandangkan sibuk yang disengajakan apatah lagi yang tak disengajakan, semuanya tidak menjadi kenyataan sehinggalah hari yang bersejarah ini..semoga semua coretan nanti dpt dijadikan bahan yg bermanfaat utk aku rujuk dan renung kembali bila perlu..sebagai kalam pertama, mestilah tak ada benda sgt nak citer... sekadar nak ucap selamat datang masuk ke sini, ucap terima kasih sbb sudi jadi 1 daripada 'jutaan' kawan-kawan aku..sempena tahun baru hijrah ni.. memandangkan kita telah berada dlm tahun baru, sama2lah kita tingkatkan azam, perbaharui azam dan tambahkan amal kebajikan supaya menjadi saham / bekal kita bila menuju ke negeri abadi...semoga HIDUP kita BAHAGIA, dan MATI kita MULIA...selamat beribadah..salam ukhwah!